LAWATAN KHAS AHLI PARLIMEN MALAYSIA KE REPUBLIK ARAB MESIR
LAWATAN KHAS AHLI PARLIMEN MALAYSIA KE REPUBLIK ARAB MESIR
YB Datuk Mohamad bin Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri akan mengetuai delegasi Malaysia yang disertai oleh tiga Ahli Parlimen dan seorang Senator ke Lawatan Khas ke Republik Arab Mesir dari 21 hingga 24 Februari 2024. Delegasi tersebut terdiri dari YB Syed Ibrahim bin Syed Noh (Ledang/ PKR), YB Ahmad Tarmizi bin Sulaiman (Sik/ PAS), YB Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy (Kalabakan/ UMNO) dan Senator Datuk Wira Dr. Mohd Hattta Md. Ramli (AMANAH).
Lawatan khas ini bertujuan untuk mempamerkan sokongan penuh Malaysia terhadap isu Palestin. Delegasi akan mengambil peluang membuat lawatan ke lintasan Rafah-Gaza, di mana bekalan kecemasan dan bantuan kemanusiaan daripada Malaysia disalurkan ke Gaza dengan kerjasama rapat bersama Kerajaan Mesir dan Ops Ihsan.
Antara program lain termasuk kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Luar Negeri Mesir, Hamdi Loza, pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Bulan Sabit Merah Mesir (ERC), Dr. Rami Al Nazer dan lawatan ke hospital seliaan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS). Intipati perbincangan adalah mengenai kerjasama Malaysia untuk membantu rakyat Palestin di Gaza termasuk yang memerlukan rawatan perubatan di Mesir.
Acara simbolik penyerahan sumbangan rakyat Malaysia akan diberikan kepada ERC dan PRCS dengan masing-masing berjumlah USD250,000 dan USD500,000.
Sejumlah 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai RM5.6 juta (USD1.2 juta) telah tiba di Lapangan Terbang El-Arish, Mesir pada bulan November dan Disember 2023. Barangan yang dihantar merangkumi ubat-ubatan, peralatan perubatan, makanan dan bekalan musim sejuk (selimut, khemah dan pakaian). Bantuan kemanusiaan ini berjaya dilaksanakan dengan sumbangan rakyat Malaysia kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
PUTRAJAYA
22 Februari 2024