LAWATAN KERJA YB DATUK MOHAMAD BIN ALAMIN, TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE RIYADH, ARAB SAUDI, 7-8 JUN 2023
LAWATAN KERJA YB DATUK MOHAMAD BIN ALAMIN,
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE RIYADH, ARAB SAUDI,
7-8 JUN 2023
YB Datuk Mohamad Bin Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia, akan mewakili YB Menteri Luar Negeri ke Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Global Coalition to Defeat ISIS/Da’esh di Riyadh, pada 8 Jun 2023. Beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Luar Negeri.
Global Coalition to Defeat ISIS/Da’esh telah ditubuhkan pada September 2014 susulan kegusaran terhadap aktiviti Da'esh dan ancaman yang ditimbulkannya kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa. Mesyuarat Peringkat Menteri edisi kesepuluh ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Tuan Yang Terutama Putera Faisal Bin Farhan Al- Saud, Menteri Luar Negeri Arab Saudi, dan Tuan Yang Terutama Antony J. Blinken, Setiausaha Negara Amerika Syarikat. Mesyuarat bertujuan memperkukuhkan komitmen negara-negara anggota Pakatan ini bagi menentang Da’esh dalam segenap aspek, melumpuhkan rangkaiannya serta mengekang penularan pengaruh kumpulan pengganas tersebut.
YB Timbalan Menteri Luar Negeri akan berkongsi strategi Malaysia untuk membanteras keganasan melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dan pendekatan keseluruhan masyarakat. Beliau juga akan menyatakan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dengan negara-negara ahli Pakatan melalui langkah pembinaan kapasiti yang merupakan aspek penting bagi memerangi keganasan dan ekstremisme melampau.
Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat tersebut membuktikan komitmen Malaysia untuk memainkan peranan proaktif dalam pelbagai inisiatif antarabangsa dan serantau untuk memerangi keganasan dan ekstremisme melampau.
YB Timbalan Menteri Luar Negeri dijadualkan bertemu dengan pegawai-pegawai kanan Arab Saudi bagi membincangkan pelbagai perkara dua hala di antara Malaysia dan Arab Saudi.
PUTRAJAYA
7 Jun 2023