LAWATAN KERJA YB DATUK MOHAMAD BIN ALAMIN, TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI KE REPUBLIK ISLAM IRAN, 22-25 DISEMBER 2023
LAWATAN KERJA YB DATUK MOHAMAD BIN ALAMIN,
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI
KE REPUBLIK ISLAM IRAN,
22-25 DISEMBER 2023
YB Datuk Mohamad bin Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri akan mengadakan Lawatan Kerja ke Republik Islam Iran dari 22 hingga 25 Disember 2023 bagi menghadiri Persidangan Peringkat Tinggi Mengenai Isu Palestin. YB Timbalan Menteri Luar Negeri akan diiringi oleh pegawai kanan Kementerian Luar Negeri.
Persidangan Peringkat Tinggi Mengenai Isu Palestin yang dihoskan TYT Seyed Ebrahim Raisi, Presiden Republik Islam Iran akan turut dihadiri beberapa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan bukan negara anggota OIC. Persidangan yang dianjurkan sebagai tanda solidariti bersama Palestin bertujuan untuk membincangkan cabaran dan strategi dalam mencari penyelesaian jangka masa panjang terhadap konflik semasa di Gaza serta mencari mekanisme terbaik untuk penyaluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.
YB Timbalan Menteri Luar Negeri akan mengetengahkan, antara lain, pendirian tegas Malaysia berhubung isu Palestin, termasuk mendesak supaya tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dihentikan segera, dan usaha-usaha berterusan Malaysia dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
PUTRAJAYA
22 Disember 2023