LAWATAN KERJA YB DATUK MOHAMAD ALAMIN TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE STOCKHOLM, SWEDEN, 12 – 14 MEI 2023
LAWATAN KERJA YB DATUK MOHAMAD ALAMIN
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA
KE STOCKHOLM, SWEDEN, 12 – 14 MEI 2023
YB Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia akan mengadakan lawatan kerja ke Stockholm, Sweden dari 12 hingga 14 Mei 2023 untuk menghadiri Forum Menteri-menteri Indo-Pasifik (IPMF) Kesatuan Eropah (EU) pada 13 Mei 2023, dihoskan oleh Sweden dalam kapasitinya sebagai Presiden Majlis EU.
Forum ini merupakan inisiatif Kesatuan Eropah untuk meningkatkan kerjasama dan dialog antara EU dan Indo-Pasifik. Semasa Forum tersebut, YB Timbalan Menteri dijadualkan untuk mengambil bahagian dalam sesi Roundtable bertemakan: Membina Kemakmuran Lebih Mampan dan Inklusif Bersama.
Di sela-sela IPMF, YB Timbalan Menteri juga dijangka akan mengadakan pertemuan dengan TYT Jan Knutsson, Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar Sweden, TYT Marko Štucin, Setiausaha Kerajaan di Kementerian Luar Negeri Slovenia dan TYT Stefano Sannino, Setiausaha Agung Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah (EEAS). Selain itu, beliau juga dijadualkan untuk bertemu diaspora Malaysia di Stockholm.
Lawatan YB Timbalan Menteri Luar ke Sweden akan memberi peluang kepada Malaysia untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin dengan Sweden. Pada 2022, Sweden merupakan rakan dagangan ke-45 terbesar Malaysia berjumlah RM4.70 bilion (USD 1.07 bilion), peningkatan 13.2% berbanding 2021.
PUTRAJAYA
12 Mei 2023