LAWATAN KERJA YB DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN, MENTERI LUAR NEGERI, KE BRUSSELS, BELGIUM 1 – 3 FEBRUARI 2024
LAWATAN KERJA YB DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN,
MENTERI LUAR NEGERI, KE BRUSSELS, BELGIUM
1 – 3 FEBRUARI 2024
YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, telah mengadakan lawatan kerja ke Brussels, Belgium bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN-Kesatuan Eropah ke-24 (AEMM ke-24) dan Forum Menteri Indo-Pasifik Kesatuan Eropah ke-3 (EU IPMF ke-3) dari 1 hingga 3 Februari 2024.
Dalam mesyuarat AEMM ke-24, YB Menteri Luar Negeri telah menekankan tiga isu utama, iaitu (i) peralihan tenaga, (ii) minyak kelapa sawit dan (iii) Palestin. Beliau juga menegaskan keperluan mempertingkatkan kerjasama antara ASEAN dan EU dalam peralihan tenaga dalam usaha mempercepatkan pelan peralihan tenaga ASEAN. Berhubung isu minyak kelapa sawit, YB Menteri Luar Negeri menggalakkan kedua-dua pihak ASEAN dan EU untuk memperkukuh kerjasama melalui rangka kerja saksama yang menitikberatkan isu-isu alam sekitar tanpa mengabaikan keperluan pembangunan negara.
YB Menteri Luar Negeri juga mengulangi pendirian Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh pihak penjajah, Israel, terhadap penduduk Wilayah Palestin yang Diduduki dan menyeru supaya gencatan senjata di Gaza dilaksanakan dengan serta-merta.
Beliau turut menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice - ICJ) dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan menentang Israel berkenaan pelaksanaan Konvensyen 1948 berhubung Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid dan menggesa komuniti antarabangsa untuk menyokong keputusan ICJ dan gencatan senjata serta-merta di Gaza.
Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia menyambut baik cadangan EU untuk mengadakan persidangan keamanan antarabangsa dalam usaha membangun pelan hala tuju ke arah penyelesaian dua negara untuk Palestin dan Israel. Pengakhiran pendudukan Israel selama beberapa dekad di Wilayah Palestin yang Diduduki adalah asas untuk penyelesaian dua negara.
Semasa Forum EU IPMF ke-3, YB Menteri Luar Negeri telah menyertai negara-negara lain dari EU dan Indo-Pasifik dalam berkongsi pandangan mengenai cabaran-cabaran bersama dan bidang kerjasama yang berpotensi untuk diterokai.
YB Menteri Luar Negeri telah menyertai Perbincangan Meja Bulat mengenai “The Green Transition: Partnering for a Sustainable Future”. Beliau mengakui bahawa peralihan hijau memainkan peranan yang penting dalam usaha mencapai pembangunan mampan dan penjagaan alam sekitar.
Beliau juga menzahirkan komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) sifar bersih menjelang 2050, seperti yang termaktub dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, dan menyeru negara-negara maju untuk menyokong usaha-usaha negara-negara Selatan Global dalam melaksanakan peralihan kepada tenaga hijau.
Di sela-sela AEMM ke-24 dan EU IPMF ke-3, YB Menteri Luar Negeri juga berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawat dari EU iaitu Belanda, Belgium, Croatia, Denmark, Luxembourg, Perancis, Republik Czech, Slovenia dan Sepanyol, serta Menteri Luar Negeri Brunei Darussalam, Sri Lanka dan Wakil Tinggi Kesatuan Eropah bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan.
Beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan pemegang-pemegang taruh bagi membincangkan cabaran dan peluang berkaitan pelaburan, kelestarian, dan komoditi, terutama minyak kelapa sawit Malaysia. Beliau turut bertemu dengan diaspora Malaysia di Brussels dalam satu majlis ramah mesra.
PUTRAJAYA
4 Februari 2024