LAWATAN KERJA YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE REPUBLIK SINGAPURA PADA 1 – 2 MEI 2021
LAWATAN KERJA
YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE REPUBLIK SINGAPURA
PADA 1 – 2 MEI 2021
Menteri Luar Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengadakan Lawatan Kerja ke Singapura dari 1 hingga 2 Mei 2021. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein akan diiringi pegawai-pegawai dari Kementerian Luar Negeri.
Lawatan ini adalah bagi memenuhi jemputan Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan, dan merupakan lawatan kerja timbal balas susulan Lawatan Kerja Dr. Balakrishnan ke Malaysia. Ini merupakan lawatan pert ama Dato’ Seri Hishammuddin ke Singapura sebagai Menteri Luar Negeri.
Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein juga dijadualkan akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong serta Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Teo Chee Hean semasa Lawatan Kerja tersebut.
Dato’ Seri Hishammuddin dan Dr. Balakrishnan akan berbincang mengenai pelbagai isu yang melibatkan kepentingan bersama dalam konteks kerjasama dua hala termasuk inisiatif untuk meningkatkan jalinan kolaborasi bermanfaat yang memfokuskan kepada kerjasama pasca pandemik. Kedua-dua Menteri Luar Negeri akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu semasa serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Lawatan ini dikendalikan berdasarkan tatacara -tatacara dan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang amat ketat seperti ditetapkan oleh Kerajaan Singapura dan Malaysia.
PUTRAJAYA
1 MEI 2021