LAWATAN KERJA YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR MENTERI LUAR NEGERI, MALAYSIA KE NEW ZEALAND 2 - 4 MEI 2023
LAWATAN KERJA YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR
MENTERI LUAR NEGERI, MALAYSIA
KE NEW ZEALAND
2 - 4 MEI 2023
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri Malaysia akan mengadakan Lawatan Kerja sulung beliau ke New Zealand dari 2 hingga 4 Mei 2023, atas jemputan rakan sejawatnya, PYT Nanaia Mahuta. New Zealand merupakan negara Pasifik pertama yang dikunjungi oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry sejak beliau menyandang jawatan Menteri Luar Negeri pada 2 Disember 2022. YB Menteri Luar akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri.
Semasa lawatan ini, YB Menteri Luar dijadual bertemu PYT Nanaia Mahuta. Kedua-dua Menteri akan membincangkan status kerjasama dan hubungan dua hala sedia ada, di samping bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Kedua-dua Menteri juga dijadual untuk bersama-sama menyaksikan pemeteraian dokumen Rakan Kerjasama Strategik Malaysia – New Zealand yang akan disempurnakan oleh Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Luar Negeri (KLN) Malaysia dan Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan (MFAT) New Zealand. Perkongsian strategik ini dijangka meningkatkan kerjasama dua hala sedia ada ke peringkat yang lebih tinggi. Di samping itu, YB Menteri Luar juga akan mengadakan pertemuan interaktif dengan diaspora Malaysia di New Zealand termasuk pelajar dan komuniti perniagaan.
Lawatan ini mencerminkan kepentingan hubungan Malaysia-New Zealand yang telah lama terjalin. New Zealand kekal sebagai rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Pasifik. Jumlah dagangan pada 2022 bernilai RM11.3 bilion (USD2.56 bilion), meningkat 49.6%, berbanding RM7.55 bilion (USD1.82 bilion) pada 2021.
PUTRAJAYA
2 Mei 2023