LAWATAN KERJA YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR, MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE MESYUARAT TAHUNAN MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI AUSTRALIA - MALAYSIA KALI KELIMA DI ADELAIDE, AUSTRALIA, 4 – 6 MEI 2023
LAWATAN KERJA YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR,
MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA
KE MESYUARAT TAHUNAN MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI
AUSTRALIA - MALAYSIA KALI KELIMA
DI ADELAIDE, AUSTRALIA, 4 – 6 MEI 2023
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri Malaysia, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tahunan Menteri-menteri Luar Negeri (Annual Foreign Ministers’ Meeting – AFMM) Australia – Malaysia kali kelima di Adelaide, Australia dari 4 hingga 6 Mei 2023. Lawatan Kerja ini merupakan lawatan sulung beliau ke Australia sejak pelantikan beliau sebagai Menteri Luar Negeri pada 2 Disember 2022.
AFMM merupakan mesyuarat tahunan di antara Menteri Luar Negeri kedua-dua buah negara, di bawah rangka kerja Rakan Kerjasama Komprehensif Strategik (CSP). AFMM kelima kali ini merupakan mesyuarat kali kedua sejak taraf hubungan diplomatik ditingkatkan ke peringkat CSP pada 27 Januari 2021.
Malaysia dan Australia telah lama menjalinkan hubungan persahabatan yang akrab berdasarkan faktor sejarah serta hubungan sesama rakyat yang erat. Lawatan YB Menteri Luar Negeri akan membolehkan Malaysia mengukuhkan lagi kerjasama dua hala sedia ada. Di samping itu, kedua-dua pihak akan menilai status kerjasama berdasarkan rangka kerja CSP yang merangkumi aspek kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi serta kerjasama pertahanan dan keselamatan serantau.
Australia kekal sebagai rakan dagangan strategik dan terbesar Malaysia bagi destinasi eksport dan sumber import di rantau Oceania. Pada tahun 2022, jumlah nilai perdagangan meningkat sebanyak 55.4% kepada RM88.65 bilion (USD20.05 bilion) berbanding RM57.04 bilion (USD13.76 bilion) pada tahun 2021.
PUTRAJAYA
4 Mei 2023