LAWATAN KERJA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH KE UNITED KINGDOM 1-4 JUN 2025
LAWATAN KERJA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEMAJUAN DESA
DAN WILAYAH KE UNITED KINGDOM
1-4 JUN 2025
YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah akan mengadakan Lawatan Kerja ke United Kingdom dari 1 hingga 4 Jun 2025. YAB Timbalan Perdana Menteri akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Pada 2 Jun 2025, YAB Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan TYT Steve Reed, Setiausaha Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar United Kingdom. Perbincangan akan bertumpu kepada kerjasama dalam perlindungan alam sekitar, pembangunan luar bandar dan ketahanan komuniti. Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Hubungan Dialog ASEAN-United Kingdom.
YAB Timbalan Perdana Menteri akan menyampaikan syarahan umum di University College London (UCL), yang memberi fokus kepada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Pada 3 Jun 2025, YAB Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan pemain-pemain industri francais United Kingdom dalam satu Mesyuarat Meja Bulat, yang bertujuan meneroka peluang kerjasama perniagaan dan pelaburan dalam sektor francais Malaysia. Beliau juga dijadual menyempurnakan pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi pasaran United Kingdom dan bertemu rakan perniagaan dalam sektor pelancongan yang berpusat di United Kingdom bagi mengukuh kerjasama dan mempromosi kemasukan pelancong ke Malaysia.
Lawatan ini menzahirkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh hubungan dua hala dengan United Kingdom, susulan lawatan YAB Perdana Menteri pada Januari 2025, dimana kedua pemimpin bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik.
United Kingdom merupakan rakan dagang penting bagi Malaysia dengan jumlah perdagangan pada tahun 2024 mencecah RM16.80 bilion (USD3.68 billion), eksport bernilai RM8.61 bilion (USD1.89 bilion), manakala nilai import sebanyak RM8.19 bilion (USD1.79 bilion). Imbangan dagangan kekal memihak kepada Malaysia. Bagi Januari hingga April 2025, nilai dagangan adalah sebanyak RM4.98 bilion (USD1.12 bilion).
Pada 4 Jun 2025, YAB Timbalan Perdana Menteri akan berlepas ke Geneva dalam siri Lawatan Kerja antarabangsa beliau.
PUTRAJAYA
1 Jun 2025