LAWATAN KERJA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH KE SWITZERLAND BERSEMPENA DENGAN SESI KE-8 PLATFORM GLOBAL BAGI PENGURANGAN RISIKO BENCANA 4 – 5 JUN 2025
LAWATAN KERJA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN
MENTERI KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH KE SWITZERLAND
BERSEMPENA DENGAN SESI KE-8 PLATFORM GLOBAL BAGI PENGURANGAN RISIKO BENCANA
4 – 5 JUN 2025
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Ke-8 Platform Global Bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) pada 4 dan 5 Jun 2025 di Geneva, Switzerland. YAB Timbalan Perdana Menteri akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan dari Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Luar Negeri.
YAB Timbalan Perdana Menteri akan menyampaikan Kenyataan Negara semasa sesi Meja Bulat Peringkat Menteri yang bertajuk ‘Safe Schools Now: Protecting Every Child from Disaster and Climate Risk’ di Sesi Ke-8 GPDRR. YAB Timbalan Perdana Menteri akan menegaskan komitmen berterusan Malaysia dalam pengurusan bencana melalui pelancaran Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan, pelaksanaan Program Sekolah Selamat dan Program Pengurangan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti serta pelancaran Modul Pendidikan Pengurangan Risiko Bencana.
Semasa di Geneva, Encik Kamal Kishore, Penolong Setiausaha Agung PBB merangkap Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pengurangan Risiko Bencana akan mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Timbalan Perdana Menteri. Mesyuarat tersebut akan memberi peluang kepada Malaysia untuk mempertimbangkan potensi kerjasama dalam pengurusan risiko bencana bersama PBB dan rakan-rakan antarabangsa yang lain.
GPDRR merupakan platform antarabangsa yang penting untuk menilai pencapaian Negara-Negara Anggota PBB, termasuk Malaysia, dalam melaksanakan Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030. Malaysia merupakan perintis rangkaian ini dan akan kekal teguh dalam komitmennya untuk mengurus dan mencegah bencana selaras dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan 2030.
PUTRAJAYA
4 Jun 2025