LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA KE THAILAND 17 APRIL 2025
LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA KE THAILAND
17 APRIL 2025
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand pada 17 April 2025 atas jemputan PYT Paetongtarn Shinawatra, Perdana Menteri Thailand. Lawatan ini merupakan lawatan kedua YAB Perdana Menteri ke Bangkok sejak memegang tampuk kepimpinan negara pada November 2022, selepas lawatan rasmi beliau pada 9 dan 10 Februari 2023.
Semasa lawatan tersebut, YAB Perdana Menteri dijadual akan mengadakan pertemuan bersama PYT Paetongtarn Shinawatra. Kedua-dua Perdana Menteri dijangka akan menyusul hasil Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ke-7 (7 th Annual Consultation – AC) yang telah diadakan di Putrajaya pada 16 Disember 2024 yang lalu.
Kedua-dua Pemimpin akan turut menilai kemajuan hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama baharu antara kedua-dua negara tetangga, di samping berbincang mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Semasa di Bangkok, YAB Perdana Menteri juga dijadual akan mengadakan pertemuan bersama Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN serta sesi libat urus bersama kapten industri Thailand.
Lawatan ini merupakan kesinambungan kepada siri pertukaran lawatan di peringkat Pemimpin pada tahun lalu serta perbualan telefon antara YAB Perdana Menteri dan PYT Paetongtarn Shinawatra pada 6 Mac 2025 yang lalu. Sesi libat urus sebegini mencerminkan talian persahabatan yang erat serta kerjasama rapat antara Malaysia dan Thailand selaku negara berjiran dan negara pengasas ASEAN.
Pada tahun 2024, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan Negara Anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM114.56 bilion (USD25.03 bilion). Dari Januari hingga Februari 2025, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM17.65 bilion (USD3.96 bilion), berbanding RM16.80 bilion (USD3.67 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun 2024.
PUTRAJAYA
17 April 2025