LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA KE PERSEKUTUAN RUSIA 4 - 5 SEPTEMBER 2024
LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA KE PERSEKUTUAN RUSIA
4 - 5 SEPTEMBER 2024
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan Lawatan Kerja ke Persekutuan Rusia pada 4 dan 5 September 2024 untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur Ke-9 (9th Eastern Economic Forum - EEF) di Vladivostok.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan,Menteri Luar Negeri; YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Aziz, Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri; dan YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor.
Lawatan ini merupakan lawatan pertama YAB Perdana Menteri ke Persekutuan Rusia sejak menyandang jawatan pada November 2022.
Pada 5 September 2024, YAB Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan di Sesi Plenari EEF Ke-9. EEF ialah forum ekonomi tahunan yang diadakan sejak 2015 di rantau Timur Jauh Rusia bagi menggalakkan pelaburan dan pembangunan ekonomi serta kerjasama antarabangsa di rantau berkenaan. Sesi Plenari EEF Ke-9, dengan tema “Combining Strength to Create New Potential”, akan dihadiri oleh dif-dif kehormat asing dan tempatan, penggubal dasar, ahli akademik, dan peneraju industri.
YAB Perdana Menteri juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Tuan Yang Terutama Vladimir Putin, Presiden Persekutuan Rusia. Mesyuarat ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai dan membincangkan hubungan dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, Teknikal dan Vokasional Pendidikan dan Latihan (TVET), pertanian dan keterjaminan makanan serta pelancongan.
Kedua-dua pemimpin akan meneroka kerjasama dalam bidang baharu seperti aeroangkasa dan teknologi lanjutan serta bertukar-tukar pandangan mengenai konflik Rusia-Ukraine dan situasi di Timur Tengah.
YAB Perdana Menteri dan TYT Putin dijangka membincangkan kerjasama dalam ruang lingkup hubungan Rakan Dialog ASEAN-Rusia. YAB Perdana Menteri juga akan menyatakan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada TYT Putin, yang kini memegang jawatan Pengerusi
BRICS bagi tahun 2024.
Semasa lawatan ini, YAB Perdana Menteri turut disertai oleh delegasi dari Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Malaysia dan Persekutuan Rusia komited untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang keselamatan makanan melalui promosi perdagangan dan pelaburan, pembinaan kapasiti, serta penyelidikan dan pembangunan.
Pada 2023, Persekutuan Rusia adalah rakan dagangan ke-8 terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara-negara Eropah. Jumlah dagangan dua hala meningkat 15.6% kepada RM14.22 bilion (USD3.1 bilion), berbanding RM12.3 bilion (USD2.79 bilion) yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
PUTRAJAYA
3 September 2024