LAWATAN KERJA YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB, PERDANA MENTERI MALAYSIA KE SESI KE-77 PERHIMPUNAN AGUNG PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT 22 – 25 SEPTEMBER 2022
LAWATAN KERJA
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB, PERDANA MENTERI MALAYSIA
KE SESI KE-77 PERHIMPUNAN AGUNG PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT
22 – 25 SEPTEMBER 2022
YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi ke-77 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA77) di New York, Amerika Syarikat dari 22 hingga 25 September 2022.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Ini merupakan penglibatan kedua YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ke Perhimpunan Agung PBB, setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9. Sewaktu Sesi ke-76 Perhimpunan Agung PBB, ekoran pandemik COVID-19, YAB Perdana Menteri telah menyampaikan kenyataan Malaysia menerusi rakaman video.
Pada tahun ini, YAB Perdana Menteri dijadual menyampaikan kenyataan Malaysia secara fizikal semasa sesi Debat Umum pada 23 September 2022. Kenyataan Negara ini buat julung-julung kalinya akan disampaikan dalam Bahasa Melayu di pentas berprestij PBB oleh Perdana Menteri Malaysia. Ini merupakan inisiatif murni YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk memartabatkan Bahasa Melayu di persada antarabangsa terutamanya di platform PBB. Usaha ini jelas akan melakar sejarah penting buat negara.
Tema bagi sesi Debat Umum pada tahun ini, iaitu, “Detik Peralihan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait” menumpu kepada kepentingan sistem PBB untuk kekal relevan pada masa kini. Tema ini akan turut memberikan penekanan kepada komitmen para pemimpin dunia dalam menangani cabaran yang dihadapi dunia seperti pandemik COVID-19, konflik Rusia-Ukraine dan juga perubahan iklim.
Bagi UNGA77, YAB Perdana Menteri dijangka akan mengetengahkan isu-isu berkaitan cabaran dan konflik global seperti COVID-19, situasi di Ukraine, Palestin dan Myanmar, tindakan iklim serta pembangunan mampan selari dengan tema Debat Umum Sesi ke-77. YAB Perdana Menteri akan turut menggariskan kepentingan konsep hidup bersama dalam budaya damai terutamanya bagi menyelesaikan pertikaian secara aman demi mewujudkan sebuah keluarga dunia yang harmoni.
Sewaktu di New York, YAB Perdana Menteri akan menyaksikan pemeteraian empat (4) perjanjian melibatkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Palestin, antaranya penubuhan Joint Committee Meeting, Kerjasama dalam bidang Kesihatan, Pelancongan dan juga Hal-Hal berkaitan agama Islam.
YAB Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat di sela-sela UNGA77 untuk membincangkan isu berkepentingan bersama. Pertemuan tersebut akan mengeratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin dengan negara-negara berkenaan, serta mengukuhkan persefahaman dalam isu serantau dan antarabangsa.
YAB Perdana Menteri akan menghoskan satu majlis makan malam “Keluarga Malaysia” bagi menyantuni rakyat Malaysia di New York.
YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri dijadualkan menghadiri beberapa mesyuarat semasa di UNGA77 iaitu; SDG Moments; OIC Committee of Six on Palestine; Transforming Education Summit (TES); Ministerial Meeting of the Group of Friends of the Global Development Initiative (GDI); Ministerial Meeting of the Group of Friends (GoF) of Mediation; MH17 Joint Investigation Team (JIT) Ministerial Meeting; High-Level Meeting to Commemorate the 30th Anniversary of the Adoption of the Declaration on the Rights of Persons Belonging to National or Ethnic, Religious and Linguistic Minorities; Ministerial Meeting of the Non-Aligned Movement (NAM); OIC Contact Group on Rohingya Muslims of Myanmar; Informal ASEAN Foreign Ministers’ Meeting (IAMM); OIC Annual Coordination Meeting of Foreign Ministers; High-level Plenary Meeting of the General Assembly to commemorate and Promote the International Day for the Total Elimination of Nuclear Weapons dan juga acara-acara lain di sela-sela Sesi ke-77 Perhimpunan Agung PBB.
YB Menteri Luar Negeri juga dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat bagi membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
PUTRAJAYA
21 September 2022