LAWATAN KERJA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA KE SESI KE-78 PERHIMPUNAN AGUNG PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT 20 – 24 SEPTEMBER 2023
LAWATAN KERJA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
PERDANA MENTERI MALAYSIA
KE SESI KE-78 PERHIMPUNAN AGUNG
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU
NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT
20 – 24 SEPTEMBER 2023
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 78) di New York, Amerika Syarikat, dari 20 hingga 24 September 2023.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Luar Negeri; YB Senator Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri; YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; YB Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan; serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan.
Ini merupakan penglibatan pertama YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Perhimpunan Agung PBB setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Pada tahun ini, YAB Perdana Menteri dijadual menyampaikan Kenyataan Negara semasa sesi Debat Umum pada 22 September 2023. Tema bagi sesi Debat Umum pada tahun ini adalah “Rebuilding trust and reigniting global solidarity: Accelerating action on the 2030 Agenda and its Sustainable Development Goals (SDG) towards peace, prosperity, progress and sustainability for all.”
Tema ini memberi tumpuan dalam meningkatkan semula momentum dan mempercepatkan tindakan ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan. Tema tersebut memberi penekanan kepada negara-negara anggota untuk mengambil tindakan yang bersepadu bagi mencapai keamanan dan keselamatan; memberi insentif terhadap kepimpinan yang berani dan tegas dalam memerangi perubahan iklim; dan meningkatkan usaha-usaha untuk memastikan hak asasi manusia dipenuhi oleh semua.
Selari dengan tema UNGA 78, YAB Perdana Menteri dijangka akan mengetengahkan isu- isu berkaitan perubahan iklim, dan usaha-usaha bagi mencapai Agenda 2030 dalam Kenyataan Malaysia. YAB Perdana Menteri juga dijangka akan mengetengahkan pendirian Malaysia terhadap cabaran dan konflik global seperti situasi di Palestin dan Myanmar.
Sewaktu di New York, YAB Perdana Menteri dijadual akan mengadakan satu Mesyuarat Meja Bulat dengan syarikat-syarikat Fortune 500; sesi bersama Invest Malaysia New York; forum bersama ahli-ahli Council on Foreign Relations (CFR); dan juga temubual dengan media antarabangsa seperti Bloomberg dan CNN.
YAB Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan- rakan sejawat di sela-sela UNGA 78 untuk membincangkan isu berkepentingan bersama. Pertemuan tersebut akan mengeratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin dengan negara-negara berkenaan, serta mengukuhkan persefahaman dalam isu serantau dan antarabangsa. YAB Perdana Menteri juga akan menghoskan satu majlis makan malam bagi menyantuni rakyat Malaysia di New York.
Selain itu, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry, Menteri Luar Negeri pula dijangka akan menghadiri beberapa mesyuarat dan acara yang melibatkan pelbagai kumpulan antarabangsa dan serantau berkenaan isu-isu berkaitan di sela-sela UNGA 78. YB Menteri Luar Negeri juga dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat bagi membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Menteri-menteri Kabinet yang lain juga dijadual akan terlibat dalam pelbagai program yang berasingan sepanjang UNGA 78.
Penglibatan aktif Malaysia sewaktu sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu menggariskan komitmen Malaysia dalam mengetengahkan isu-isu yang penting kepada negara di platform pelbagai hala (multilateral) terutamanya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
PUTRAJAYA
20 September 2023