LAWATAN KERJA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA KE REPUBLIK SINGAPURA 13 SEPTEMBER 2023
LAWATAN KERJA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
PERDANA MENTERI MALAYSIA KE REPUBLIK SINGAPURA
13 SEPTEMBER 2023
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia akan mengadakan Lawatan Kerja ke Republik Singapura pada 13 September 2023 untuk menyertai Milken Institute 10th Annual Asia Summit.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail. Turut mengiringi beliau ialah YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Luar Negeri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta para pegawai dari Kementerian dan Agensi yang berkaitan.
Semasa Persidangan tersebut, YAB Perdana Menteri akan menyertai dua sesi khas iaitu ‘A Conversation with the Prime Minister of Malaysia’ dan ‘Malaysia’s Investment Outlook: A Conversation between YAB Prime Minister and Global Investors’. Kedua-dua sesi ini akan disertai oleh pemimpin-pemimpin industri global dan syarikat-syarikat pelaburan.
Di samping itu, YAB Perdana Menteri turut dijadualkan untuk bertemu dengan rakan sejawatnya, TYT Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Republik Singapura dalam satu sesi minum petang di mana kedua-dua pemimpin dijangka akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan domestik dan antarabangsa.
Pada tahun 2022, Singapura merupakan rakan dagang dunia kedua terbesar Malaysia dengan perdagangan mencecah RM390.4 bilion (USD83.53 bilion) yang merangkumi 12.9% daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia. Ia merupakan peningkatan sebanyak 29.4% berbanding jumlah dagangan pada tempoh yang sama bagi tahun 2021 (RM301.7 bilion/US64.55 bilion).
PUTRAJAYA
13 September 2023