LAWATAN KERJA TYT SRETTHA THAVISIN, PERDANA MENTERI THAILAND KE MALAYSIA, 11 – 12 OKTOBER 2023
LAWATAN KERJA TYT SRETTHA THAVISIN,
PERDANA MENTERI THAILAND KE MALAYSIA,
11 – 12 OKTOBER 2023
TYT Srettha Thavisin, Perdana Menteri Thailand akan mengadakan Lawatan Kerja ke Malaysia dari 11 hingga 12 Oktober 2023. Lawatan ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand pada 5 September 2023. TYT Srettha Thavisin akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan Kerajaan Thailand.
Semasa lawatan tersebut, TYT Srettha Thavisin dijadualkan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Negara pada 11 Oktober 2023.
Pada hari yang sama, TYT Srettha Thavisin juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Kedua-dua pemimpin dijangka akan menilai semula kemajuan hubungan dua hala, terutama kerjasama di dalam bidang perdagangan, pelaburan, dan keselamatan sempadan serta meneroka bidang-bidang kerjasama baharu seperti keselamatan siber, ekonomi digital dan ekonomi hijau. Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kementerian Luar Negeri yakin Lawatan Kerja ini akan memperkukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua buah negara yang juga merupakan jiran rapat dan rakan kongsi dalam ASEAN. Pada tahun 2022, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM122.03 bilion (USD27.75 bilion), peningkatan sebanyak 17.9 peratus berbanding RM97.55 bilion (USD23.54 bilion) pada tahun 2021.
PUTRAJAYA
11 Oktober 2023