LAWATAN KERJA TYT ANTONY BLINKEN, SETIAUSAHA NEGARA AMERIKA SYARIKAT KE MALAYSIA 14-15 DISEMBER 2021
LAWATAN KERJA TYT ANTONY BLINKEN, SETIAUSAHA NEGARA AMERIKA SYARIKAT KE MALAYSIA
14-15 DISEMBER 2021
Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Saifuddin Abdullah, akan menerima kunjungan TYT Antony Blinken, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, pada 14-15 Disember 2021 sempena lawatan kerja julung kali beliau ke Malaysia. TYT Antony Blinken juga dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.
Lawatan Kerja TYT Antony Blinken ini akan memberi peluang besar kepada Malaysia dan Amerika Syarikat untuk memperluaskan kerjasama pelbagai bidang di samping meneroka inisiatif-inisatif baharu. Kerjasama aktif dan berterusan dalam perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital dan ekonomi hijau, keselamatan siber, pertahanan, pelancongan, kesihatan, pendidikan dan hubungan antara rakyat telah memberikan banyak manfaat kepada kedua-dua negara. Isu-isu antarabangsa dan serantau berkepentingan bersama juga akan turut dibincangkan secara menyeluruh semasa lawatan ini.
Amerika Syarikat merupakan antara rakan dagang dan pelabur utama Malaysia. Pada tahun 2020, nilai dagang dua hala Malaysia -Amerika Syarikat berjumlah RM178.18 bilion, manakala nilai pelaburan Amerika Syarikat di Malaysia dal am sektor pembuatan berjumlah RM3.7 bilion. Malaysia akan terus melaksanakan usaha-usaha memperkukuhkan hubungan dan kerjasama ini berlandaskan kerangka utama Kerjasama Komprehensif Malaysia -Amerika Syarikat.
Lawatan ini akan dikendalikan dengan mematuhi sepenuhnya tatacara-tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) di Malaysia.
PUTRAJAYA
8 DISEMBER 2021