LAWATAN KERJA TUAN YANG TERUTAMA PARK JIN MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK KOREA KE MALAYSIA 1-2 MEI 2023
LAWATAN KERJA TUAN YANG TERUTAMA PARK JIN
MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK KOREA KE MALAYSIA
1-2 MEI 2023
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri akan menghoskan rakan sejawatnya dari Republik Korea, Tuan Yang Terutama Park Jin sempena lawatan kerja beliau ke Malaysia dari 1 hingga 2 Mei 2023. Ini merupakan lawatan sulung Tuan Yang Terutama Park Jin ke Malaysia sejak dilantik sebagai Menteri Luar Negeri Republik Korea pada Mei 2022.
Semasa lawatan tersebut, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Tuan Yang Terutama Park Jin. Mesyuarat ini akan memberi peluang kepada kedua-dua Menteri Luar Negeri untuk membincangkan usaha-usaha dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Republik Korea yang telah lama terjalin serta kerjasama dalam pelbagai bidang. Antara agenda utama yang akan dibincangkan termasuk kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, tenaga hijau, kebudayaan, pertahanan dan pendidikan. Selain itu, kedua-dua pihak akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Tuan Yang Terutama Park Jin juga dijadual akan mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Lawatan Tuan Yang Terutama Park Jin ini adalah bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur oleh Malaysia dan Republik Korea pada tahun ini. Lawatan ini akan menjadi platform bagi kedua-dua pihak untuk menaik taraf hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi, berlandaskan prinsip kepentingan bersama, saling percaya dan kesalinghubungan sesama rakyat.
Pada tahun 2022, Republik Korea merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan sebanyak RM114.21 bilion (USD25.94 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 29.3 peratus daripada nilai yang dicatatkan pada tahun 2021. Republik Korea juga merupakan pelabur asing ketujuh terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan untuk projek yang dilaksanakan dengan nilai berjumlah RM33.0 bilion (USD9.25 bilion).
PUTRAJAYA
1 Mei 2023