LAWATAN KERJA TUAN YANG TERUTAMA FRANCISCO KALBUADI LAY TIMBALAN PERDANA MENTERI REPUBLIK DEMOKRATIK TIMOR-LESTE KE MALAYSIA 3 HINGGA 6 DISEMBER 2023
LAWATAN KERJA TUAN YANG TERUTAMA FRANCISCO KALBUADI LAY
TIMBALAN PERDANA MENTERI REPUBLIK DEMOKRATIK TIMOR-LESTE
KE MALAYSIA
3 HINGGA 6 DISEMBER 2023
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi akan menghoskan Lawatan Kerja oleh rakan sejawat dari Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Francisco Kalbuadi Lay dari 3 hingga 6 Disember 2023. Kedua-dua pemimpin akan bertemu pada 4 Disember 2023 bagi membincangkan status hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste, serta isu-isu antarabangsa berkepentingan bersama.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al- Mustaín Billah telah berkenan menerima menghadap TYT Kalbuadi Lay di Istana Negara pada 5 Disember 2023.
TYT Kalbuadi Lay yang juga merupakan Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar akan turut mengadakan pertemuan dengan YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya bagi membincangkan potensi-potensi kerjasama di dalam sektor pelancongan antara kedua-dua negara.
Program lain yang telah diatur untuk TYT Kalbuadi Lay termasuklah menghadiri Majlis Resepsi Sambutan Ulangtahun Pengisytiharan Kemerdekaan ke-48 Republik Demokratik Timor-Leste yang dianjurkan oleh Kedutaan Republik Demokratik Timor-Leste di Kuala Lumpur dan menyampaikan ucaptama semasa sesi jaringan perniagaan dengan komuniti perniagaan Malaysia dan Dewan-dewan Perdagangan.
Lawatan Kerja ini dijangka akan terus memperkukuh dan mempertingkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, di samping menunjukkan sokongan padu Malaysia ke arah keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN. Berdasarkan rekod, pada tahun 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan Timor-Leste adalah berjumlah RM384.48 juta (USD90.2 juta) dengan peningkatan sebanyak 93.3% berbanding pada tahun 2021, sebanyak RM194.09 juta (USD46.6 juta).
PUTRAJAYA
3 Disember 2023