LAWATAN KERJA PRESIDEN REPUBLIK INDONESIA KE MALAYSIA, 7 & 8 JUN 2023
LAWATAN KERJA PRESIDEN REPUBLIK INDONESIA KE MALAYSIA,
7 & 8 JUN 2023
Tuan Yang Terutama Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia akan melakukan Lawatan Kerja ke Malaysia pada 7 dan 8 Jun 2023. Presiden Joko Widodo akan diiringi oleh Ibu Negara Iriana Joko Widodo dan para menteri kabinet serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Indonesia.
Lawatan ini sangat signifikan dalam usaha kedua-dua pihak untuk meningkatkan lagi hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Republik Indonesia. Semasa lawatan tersebut, Presiden Joko Widodo dijadual akan mengadakan pertemuan dengan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia bagi menilai kemajuan bidang kerjasama dan membincangkan isu-isu dua hala yang tertunggak.
Perdana Menteri dan Presiden juga dijangka akan bertukar-tukar pandangan berkenaan perkembangan isu-isu serantau dan global termasuklah pengukuhan ASEAN pasca 2025. Selain itu, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa perjanjian yang akan ditandatangani oleh wakil-wakil kementerian dan agensi berkaitan dari kedua- dua buah negara.
Presiden Joko Widodo juga dijadual untuk menghadiri sesi jamuan minum petang bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Negara.
Pada tahun 2022, Indonesia merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM130.14 bilion (USD 29.55 bilion), peningkatan sebanyak 36.5 peratus berbanding RM95.31 bilion (USD 22.98 bilion) pada tahun 2021.
PUTRAJAYA
7 Jun 2023