LAWATAN KERJA OLEH YB DATUK MOHAMAD ALAMIN TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE WILAYAH PENTADBIRAN KHAS HONG KONG 12 – 14 SEPTEMBER 2023
LAWATAN KERJA OLEH
YB DATUK MOHAMAD ALAMIN
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA
KE WILAYAH PENTADBIRAN KHAS HONG KONG
12 – 14 SEPTEMBER 2023
YB Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia akan mengadakan Lawatan Kerja ke Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) dari 12 hingga 14 September 2023. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke HKSAR selepas menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri pada Disember 2022.
YB Timbalan Menteri Luar Negeri akan menghadiri 8th Belt and Road Summit atas jemputan Tuan Yang Terutama Lee Ka-chiu, Ketua Eksekutif HKSAR. Persidangan kali ini bertemakan “Prospering on a Decade of Collaboration”, yang menghimpunkan pemimpin negara dan pegawai kanan kerajaan serta tokoh korporat untuk mempromosikan kerjasama perniagaan di dalam Inisiatif Jalan dan Laluan (Belt and Road Initiative - BRI). YB Timbalan Menteri Luar Negeri akan menjadi salah seorang ahli panel bagi sesi Dialog Polisi II yang bertajuk “Belt and Road Initiative as a Catalyst for Regional Cooperation and Development.”
Selain menghadiri persidangan tersebut, YB Timbalan Menteri Luar Negeri juga akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kewangan, Paul Chan Mo-po. Kedua-dua pihak akan bertukar-tukar pandangan mengenai status semasa kerjasama dua hala dan mengikuti perkembangan beberapa persetujuan yang dicapai antara pemimpin semasa lawatan Ketua Eksekutif John Lee ke Malaysia pada bulan Julai 2023.
Semasa lawatan tersebut, YB Timbalan Menteri Luar Negeri juga akan mengambil peluang untuk menyantuni diaspora Malaysia selaras dengan konsep Malaysia MADANI.
HKSAR merupakan antara rakan dagang utama Malaysia. Pada tahun 2022, HKSAR merupakan rakan dagang ke-9 terbesar Malaysia dengan nilai dagangan berjumlah RM113.20 bilion (USD25.69 bilion), peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding tahun 2021.
PUTRAJAYA
12 September 2023