LAWATAN KERJA OLEH MENTERI LUAR NEGERI DENMARK KE MALAYSIA 10 - 11 DISEMBER 2024
LAWATAN KERJA OLEH MENTERI LUAR NEGERI DENMARK KE MALAYSIA
10 - 11 DISEMBER 2024
TYT Lars Løkke Rasmussen, Menteri Luar Negeri Denmark akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 10 dan 11 Disember 2024. Lawatan ini merupakan lawatan pertama TYT Rasmussen ke Malaysia sejak dilantik sebagai Menteri Luar Negeri pada bulan Disember 2022. Beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri Denmark.
TYT Rasmussen dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pada 11 Disember 2024 di Kuala Lumpur. Selain membincangkan tahap hubungan dua hala Malaysia-Denmark, mereka akan membincangkan peluang-peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang, terutamanya peralihan hijau, ekonomi kitaran dan kerjasama kesihatan.
Mereka juga akan mengambil peluang untuk bertukar-tukar pandangan mengenai Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan peranan Denmark sebagai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2025-2026, serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
TYT Rasmussen juga akan menghadiri satu majlis resepsi sempena pembukaan semula Kedutaan Besar Denmark di Kuala Lumpur.
Di antara bulan Januari dan Oktober 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Denmark meningkat sebanyak 12.9% kepada RM2.19 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023. Malaysia juga menempatkan lebih 100 syarikat dari Denmark dengan nilai pelaburan melebihi RM2.2 billion dalam bidang pembuatan sehingga Jun 2024 yang mewujudkan 5,024 peluang pekerjaan.
PUTRAJAYA
10 Disember 2024