LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 11 & 12 OGOS 2024
LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
11 & 12 OGOS 2024
YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri akan mengadakan Lawatan Kerja ke Negara Brunei Darussalam pada 11 dan 12 Ogos 2024 bersempena Mesyuarat ke-25 Pelaksanaan Exchange of Letters antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam (EOL-25).
Mesyuarat EOL merupakan mekanisme dua hala yang dipengerusikan bersama oleh YB Menteri Luar Negeri dan YB Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, Menteri Luar Negeri Kedua Negara Brunei Darussalam. Kedua-dua Menteri Luar Negeri dijangka akan memantau kemajuan kerjasama dua hala dan membincangkan hasil persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua Pemimpin semasa Perundingan Tahunan Pemimpin Ke-24 (ALC-24) tahun lepas. Hasil Mesyuarat EOL-25 ini juga akan dijadikan asas persediaan kepada ALC-25 yang dijadual penganjurannya pada 26 Ogos 2024 di Brunei Darussalam.
Sewaktu di Bandar Seri Begawan, YB Menteri Luar Negeri turut dijadual akan mengadakan Kunjungan Menghadap ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Lawatan kerja ini juga amat bermakna kerana tahun ini merupakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei Darussalam. Hubungan di antara kedua negara ini istimewa dan erat, bertunjangkan institusi Kesultanan Melayu, persamaan warisan dan kebudayaan, serta hubungan kekeluargaan antara rakyat kedua-dua negara. Kedua-dua Menteri Luar Negeri akan menghadiri satu Majlis Makan Malam bagi meraikan ulang tahun ini. Ianya akan turut dihadiri oleh orang-orang kenamaan dan pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Brunei Darussalam serta ketua-ketua perwakilan asing.
Pada tahun 2023, Brunei Darussalam merupakan rakan dagang ke-6 terbesar Malaysia dalam kalangan Negara Anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM9.31 bilion (USD2.04 bilion).
PUTRAJAYA
11 Ogos 2024