LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI DAN PERDAGANGAN HUNGARY KE MALAYSIA 20 MAC 2024
LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI DAN PERDAGANGAN HUNGARY KE MALAYSIA
20 MAC 2024
YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, telah menerima Tuan Yang Terutama Péter Szijjártó, Menteri Luar Negeri dan Perdagangan Hungary pada hari ini dalam satu Pertemuan Dua Hala di Wisma Putra. TYT Szijjártó telah mengadakan Lawatan Kerja ke Malaysia pada 20 Mac 2024.
Semasa mesyuarat dua hala tersebut, kedua-dua Menteri telah mengadakan perbincangan berkenaan usaha untuk memperkukuhkan hubungan Malaysia-Hungary, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan kerjasama dalam bidang elektro-mobiliti. Kedua-dua Menteri juga berbicara mengenai hubungan dua hala Malaysia-Kesatuan Eropah, Hubungan Dialog ASEAN-Kesatuan Eropah serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua Menteri Luar Negeri telah mengadakan Pertukaran Nota Diplomatik bagi Perjanjian Kerja Dua Hala (Bilateral Work Arrangement) serta Kerjasama antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Malaysia dan Akademi Diplomatik Hungary (MDA).
Sebelum itu, TYT Szijjártó telah mengadakan pertemuan dengan YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, termasuk program biasiswa Hungary - Stipendium Hungaricum.
Malaysia dan Hungary mempunyai kerjasama yang telah lama terjalin menerusi pelbagai aspek kerjasama. Pada 2023, nilai perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM3.08 bilion (USD0.67 bilion), dengan nilai eksport berjumlah RM2.38 bilion (USD0.52 bilion) dan nilai import berjumlah RM0.70 bilion (USD0.15 bilion).
PUTRAJAYA
20 Mac 2024