LAWATAN KERJA MENTERI JABATAN ANTARABANGSA JAWATANKUASA PUSAT, PARTI KOMUNIS CHINA (PKC) KE MALAYSIA 28 – 29 MAC 2024
LAWATAN KERJA MENTERI JABATAN ANTARABANGSA JAWATANKUASA PUSAT,
PARTI KOMUNIS CHINA (PKC) KE MALAYSIA
28 – 29 MAC 2024
Tuan Yang Terutama Liu Jianchao, Menteri Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat, Parti Komunis China (PKC), telah mengadakan Lawatan Kerja ke Malaysia dari 28 hingga 29 Mac 2024. Lawatan tersebut bertujuan untuk menjalin kerjasama yang lebih erat antara parti politik Malaysia dan China, termasuk membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Di dalam rangka lawatannya ke Malaysia, TYT Liu Jianchao telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri; YB Tuan Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan; serta YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri.
Semasa pertemuan TYT Liu dengan YB Menteri Luar Negeri hari ini, mereka telah bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk perdagangan dan pelaburan serta hubungan antara rakyat.
TYT Liu juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, sebelum beliau mengakhiri lawatan.
Lawatan ini menambah makna kepada Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia-China semenjak hubungan kedua-dua negara ini telah dinaiktaraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership) pada tahun 2013.
Selama lima belas tahun berturut-turut, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia. Pada tahun 2023, jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM450.84 bilion (USD98.80 bilion).
PUTRAJAYA
29 Mac 2024