LAWATAN KERJA MENTERI HAL EHWAL LUAR REPUBLIK INDIA KE MALAYSIA 27 – 28 MAC 2024
LAWATAN KERJA MENTERI HAL EHWAL LUAR REPUBLIK INDIA KE MALAYSIA
27 – 28 MAC 2024
Tuan Yang Terutama Dr S. Jaishankar, Menteri Hal Ehwal Luar Republik India, mengadakan Lawatan Kerja ke Malaysia pada 27 dan 28 Mac 2024. TYT Dr S. Jaishankar diiringi oleh pegawai-pegawai kanan Kerajaan India dalam rangka kerjanya ke rantau Asia Tenggara yang turut melibatkan Filipina dan Singapura.
Semasa di Malaysia, TYT Dr S. Jaishankar dihoskan oleh YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri. Kedua-dua Menteri mengadakan perbincangan yang telus dan produktif, termasuk bertukar pandangan mengenai pelbagai dimensi hubungan dua hala dan hal ehwal serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua Menteri turut membincangkan pertukaran lawatan peringkat tertinggi dan penganjuran Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia – India ke-7 pada satu tarikh yang akan dipersetujui bersama.
Ini merupakan perjumpaan pertama bagi kedua-dua Menteri tersebut sejak YB Menteri Luar Negeri menyandang jawatannya pada Disember 2023.
TYT Dr S. Jaishankar juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, pada 27 Mac 2024. Beliau turut dijadualkan untuk berjumpa YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital.
Hubungan persahabatan yang erat antara Malaysia dan India adalah bertunjangkan kerjasama ekonomi yang teguh dan hubungan antara rakyat yang kukuh. Pada tahun 2023, India merupakan rakan dagangan global ke-12 terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan bernilai RM77.76 bilion (USD16.53 bilion).
PUTRAJAYA
27 Mac 2024