LAWATAN KERJA MENTERI HAL EHWAL LUAR NEGERI KEDUA BRUNEI DARUSSALAM KE MALAYSIA 17-18 JULAI 2023
LAWATAN KERJA MENTERI HAL EHWAL LUAR NEGERI KEDUA
BRUNEI DARUSSALAM KE MALAYSIA
17-18 JULAI 2023
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri akan menerima lawatan kerja YB Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, Menteri Luar Negeri Kedua, Brunei Darussalam ke Malaysia pada 17 – 18 Julai 2023.
Pertemuan ini adalah susulan daripada kerjasama dua hala yang telah dibincangkan semasa Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri ke Brunei Darussalam pada 24-25 Januari 2023 lalu.
Lawatan Kerja ini juga bersempena dengan penganjuran Mesyuarat ke-24 Pelaksanaan Exchange of Letters (EOL) yang dipengerusikan bersama oleh kedua-dua Menteri Luar Negeri. Ia merupakan mekanisme dua hala yang penting antara Malaysia dan Brunei Darussalam untuk menyelesaikan beberapa perkara tertangguh sejak sekian lama serta memberi peluang untuk meneroka kerjasama ekonomi baharu yang menjadi kepentingan bersama. Mesyuarat EOL ke-24 ini juga akan membincangkan persiapan bagi Rundingan Pemimpin Tahunan ke-24 yang dijangka akan diadakan di Putrajaya pada 3 Ogos 2023.
Pada tahun 2022, Brunei merupakan rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia dan ke-6 terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM13.22 bilion (USD2.98 bilion). Dari Januari hingga Mei 2023, jumlah dagangan dua hala Malaysia dan Brunei Darussalam adalah USD0.74 bilion (RM3.46 bilion).
PUTRAJAYA
17 Julai 2023