LAPORAN BERKENAAN PENAHANAN SEORANG WARGANEGARA MALAYSIA OLEH PIHAK ISRAEL
LAPORAN BERKENAAN PENAHANAN SEORANG WARGANEGARA MALAYSIA OLEH PIHAK ISRAEL
Kementerian Luar Negeri mengambil maklum akan perkongsian yang tular di media sosial berhubung penahanan seorang warganegara Malaysia yang dikenali sebagai ‘Dr. Nur’ oleh pihak Israel. Walau bagaimanapun, pihak Kementerian tidak dapat mengenal pasti butiran peribadi serta perincian insiden yang menimpa ‘Dr. Nur’, sekaligus menyulitkan usaha Perwakilan Malaysia untuk menghubungi dan menyalurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada beliau.Semakan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan juga mendapati bahawa tiada individu bernama ‘Dr. Nur’ yang mendaftarkan keberadaan diri di Palestin atau menghubungi Perwakilan Malaysia untuk mendapatkan bantuan.
Dalam masa yang sama, Kementerian Luar Negeri telah pun berhubung dengan pihak-pihak berkuasa di Malaysia untuk membantu mengenal pasti identiti dan keberadaan ‘Dr. Nur’. Kementerian Luar Negeri telah mengumpul maklumat berkenaan laporan yangdikemukakan oleh orang awam termasuk tangkap skrin (screenshot) posting-posting yang dibuat oleh orang awam berhubung insiden yang menimpa ‘Dr. Nur’, dan telah memanjangkan maklumat tersebut kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut.
Kementerian Luar Negeri juga telah cuba untuk menghubungi dua (2) orang individu yang didakwa berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur bernama Dr. Aida dan Dr. Shafiq bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan ‘Dr. Nur’ namun kedua-dua mereka tidak dapat dihubungi. Maklumat lanjut mengenai perkara ini adalah penting untuk pihak Kementerian mencari jalan penyelesaian untuk membantu ‘Dr. Nur’.
Kementerian Luar Negeri ingin menggesa individu-individu serta pemilik akaun Instagram @iesya_toh dan @nurhelizahelmi untuk segera tampil dan mengemukakan maklumat berkenaan ‘Dr. Nur’. Mana-mana individu lain yang mempunyai maklumat yang sahih berhubung identiti serta keberadaan ‘Dr. Nur’ turut digesa untuk tampil dan mengemukakan maklumat tersebut melalui e-mel bkrm@kln.gov.my.
Kementerian Luar Negeri sentiasa prihatin dan mengutamakan keadaan serta kebajikan warganegara Malaysia di luar negara.Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya warganegara Malaysia di luar negara berada dalam kesulitan. Kementerian Luar Negeri menyarankan warganegara Malaysia untuk sentiasa berhubung dengan Perwakilan Malaysia yang terdekat sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau memerlukan sebarang bantuan konsular.
PUTRAJAYA
26 MEI 2021