KUNJUNGAN KAPAL-KAPAL TENTERA LAUT JERMAN DI PELABUHAN KLANG
KUNJUNGAN KAPAL-KAPAL TENTERA LAUT JERMAN DI PELABUHAN KLANG
Malaysia akan menerima ketibaan dua (2) kapal Tentera Laut Jerman, iaitu frigat FGS Baden-Württemberg dan kapal sokongan FGS Frankfurt Am Main di Terminal Kapal Persiaran Port Klang (Port Klang Cruise Terminal - PKCT) dari 15 hingga 18 Oktober 2024, yang merupakan sebahagian daripada German Navy Indo-Pacific Deployment 2024.
Semasa berlabuh di PKCT, kapal-kapal tersebut akan menghoskan majlis resepsi, sesi dialog dengan pemain industri, lawatan berpandu ke kapal, dan interaksi antara kru dengan Pusat Hidrografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia.
Kapal-kapal tersebut dijadual berlepas pada 18 Oktober 2024 ke Laut Andaman dan seterusnya ke Lautan Hindi. Semasa pelayaran, kapal-kapal tersebut akan mengadakan latihan passing exercise (PASSEX) dengan aset Tentera Laut Diraja Malaysia yang berpangkalan di Lumut, Perak.
Kunjungan oleh kapal-kapal Tentera Laut Jerman tersebut mengesahkan hubungan erat antara Malaysia dan Jerman, yang telah menyaksikan pertukaran lawatan di peringkat tertinggi khasnya Lawatan Rasmi YAB Dato‘ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ke Jerman dari 10 hingga 15 Mac 2024. Semasa lawatan berkenaan, YAB Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dua hala dengan TYT Olaf Scholz, Canselor Jerman, serta mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Frank-Walter Steinmeyer, Presiden Jerman di mana perbincangan telah tertumpu kepada kerjasama ekonomi yang semakin erat.
Menerusi kunjungan ini dan kerjasama sedia ada yang berterusan dalam pelbagai bidang, Malaysia kekal komited untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Jerman.
PUTRAJAYA
15 Oktober 2024