KETIBAAN WARGANEGARA MALAYSIA YANG MENJADI MANGSA SINDIKET PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI KEMBOJA
KETIBAAN WARGANEGARA MALAYSIA YANG MENJADI MANGSA SINDIKET PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI KEMBOJA
Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa seramai lima (5) orang lagi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan warganegara Malaysia di Kemboja telah berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air pada hari Isnin, 19 September 2022. Kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH 755 jam 2.00 petang.
Ini menjadikan bilangan kes mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja yang berjaya diselamatkan sehingga hari ini adalah seramai 143 orang daripada 158 kes yang dilaporkan. Daripada bilangan mangsa yang telah diselamatkan, 29 orang berada dalam depoh tahanan imigresen negara itu, manakala selebihnya telah pulang ke tanah air. Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh terus giat menjalankan usaha untuk menjejaki warganegara Malaysia yang dilaporkan menjadi mangsa sindiket penipuan ini di Kemboja.
Selain Kemboja, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia yang lain sedang mempergiatkan usaha untuk menyelamatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket ini di Laos, Myanmar dan Thailand. Berdasarkan rekod Kementerian Luar Negeri, statistik mangsa sindiket yang telah berjaya diselamatkan adalah seramai 16 orang di Thailand, 27 orang di Laos dan 5 orang di Myanmar. Bilangan mangsa yang sedang dijejaki pula adalah seramai 12 orang di Thailand, 28 orang di Laos dan 54 orang di Myanmar.
Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di negara-negara terbabit akan terus melipatgandakan usaha dan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara-negara tuan rumah dalam usaha mengesan dan menyelamatkan mangsa-mangsa sindiket berkenaan.
PUTRAJAYA
19 September 2022