KETIBAAN LAPAN (8) ORANG MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI LUAR NEGARA
KETIBAAN LAPAN (8) ORANG MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI LUAR NEGARA
Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah berjaya membawa pulang lapan (8) orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Dubai. Kesemua mereka telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Disember 2022 (Jumaat), jam 8.10 pagi dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu proses siasatan selanjutnya.
KJM di Dubai telah mengambil tindakan segera bagi membantu menyelamatkan mereka setelah menerima makluman berhubung perkara itu. Kementerian ini merakamkan penghargaan kepada pihak Kerajaan UAE atas bantuan dan kerjasama yang telah diberikan dalam membantu dan mempercepatkan proses penghantaran pulang kesemua mangsa.
Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan bagi membawa pulang kesemua mangsa ke tanah air dengan selamat.
KLN melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular yang sewajarnya kepada rakyat Malaysia di luar negara.
PUTRAJAYA
16 Disember 2022