KETIBAAN 11 ORANG WARGANEGARA MALAYSIA YANG MENJADI MANGSA SINDIKET PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI KEMBOJA
KETIBAAN 11 ORANG WARGANEGARA MALAYSIA YANG MENJADI MANGSA SINDIKET PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI KEMBOJA
Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa seramai 11 orang lagi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan warganegara Malaysia di Kemboja telah selamat pulang ke tanah air pada hari Khamis, 15 September 2022. Kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) melalui penerbangan Air Asia AK 535 jam 11.55 malam. Justeru, sehingga 15 September 2022, seramai 123 daripada 153 orang mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja telah berjaya diselamatkan.
Kementerian merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Kemboja melalui pihak berkuasa negara itu atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam mengesan serta menyelamatkan para mangsa.
Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh akan terus komited dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Kemboja untuk mengesan serta menyelamatkan para mangsa, bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat.
Individu atau waris kepada warganegara Malaysia yang terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara boleh berhubung secara terus dengan Kementerian Luar Negeri melalui Unit Bantuan Konsular Rakyat Malaysia di Luar Negara menerusi e-mel bkrm@kln.gov.my. Selain itu, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh juga boleh dihubungi melalui e-mel mwphnompenh@kln.gov.my sekiranya terdapat individu atau waris yang terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja.
PUTRAJAYA
16 September 2022