KETIBAAN 10 ORANG MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DARI KEMBOJA
KETIBAAN 10 ORANG MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DARI KEMBOJA
Kementerian Luar Negeri (KLN) ingin memaklumkan bahawa seramai sepuluh (10) orang lagi warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja telah berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air pada hari Jumaat, 21 Oktober 2022. Kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 11.50 malam menaiki pesawat AK535 dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.
Sehingga 21 Oktober 2022, seramai 313 orang mangsa warganegara Malaysia telah berjaya diselamatkan dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand. Daripada bilangan tersebut, seramai 255 orang telah dihantar pulang, manakala baki seramai 58 orang lagi masih ditahan di depoh tahanan imigresen negara-negara berkenaan sementara menunggu proses pengusiran.
KLN merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dan pihak Kerajaan Kemboja yang terus mengambil tindakan proaktif bagi menyelamatkan dan mempercepatkan urusan penghantaran pulang para mangsa. KLN melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia dan agensi-agensi Kerajaan negara-negara berkenaan akan terus bekerjasama dan menggiatkan usaha bagi menangani isu sindiket jenayah ini.
Pada masa yang sama, warganegara Malaysia adalah dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran pekerjaan yang diterima, terutamanya melalui media sosial bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa sindiket berkenaan.
PUTRAJAYA
22 Oktober 2022