KEPULANGAN LIMA (5) ORANG MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI MYANMAR
KEPULANGAN LIMA (5) ORANG MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN
TAWARAN PEKERJAAN DI MYANMAR
Lima (5) orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad, 19 Februari 2023. Mangsa tersebut telah berjaya melarikan diri ke Thailand dan diselamatkan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum melalui proses deportasi dan dihantar pulang ke Malaysia.
Kepulangan mangsa yang berusia di antara 19 hingga 26 tahun diiringi oleh pegawai daripada Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah mengadakan lawatan kerja ke Thailand dari 16 hingga 19 Februari 2023.
KLN merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam usaha mengesan serta menyelamat warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan ini dan mempercepatkan proses penghantaran pulang mangsa ke Malaysia.
Sehingga hari ini, KLN telah membawa pulang seramai 382 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket ini di Laos, Kemboja, Myanmar dan Thailand.
KLN ingin menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan terutamanya yang diterima melalui media sosial, aplikasi mudah alih atau secara dalam talian.
KLN amat memandang serius akan permasalahan ini dan menggesa orang ramai untuk membuat laporan kepada PDRM dan KLN sekiranya ada di antara ahli keluarga yang disyaki menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
PUTRAJAYA
19 Februari 2023