KEPULANGAN LIMA (5) ORANG MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI KEMBOJA
KEPULANGAN LIMA (5) ORANG MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI KEMBOJA
Lima (5) orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari Jumaat, 27 Januari 2023. Kepulangan semua mangsa yang berusia di antara 17 hingga 42 tahun ini turut diiringi oleh seorang pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri dan delegasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah mengadakan lawatan kerja ke Kemboja mulai hari Selasa, 24 Januari 2023 lalu.
Kementerian Luar Negeri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Kemboja atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam usaha mengesan serta menyelamat warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja di samping kesediaan menerima lawatan kerja empat (4) hari tersebut.
Sehingga kini Kementerian Luar Negeri telah membawa pulang seramai 346 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.
Kementerian Luar Negeri ingin menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan yang diterima daripada sumber-sumber meragukan, termasuk melalui media sosial, aplikasi mudah alih atau secara dalam talian.
Kementerian Luar Negeri amat memandang serius akan permasalahan ini dan menggesa orang ramai untuk membuat laporan kepada pihak PDRM dan Kementerian Luar Negeri sekiranya terdapat ahli keluarga mereka yang disyaki menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
PUTRAJAYA
27 Januari 2023