KEPULANGAN ENAM (6) ORANG MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DARI THAILAND
KEPULANGAN ENAM (6) ORANG MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN
TAWARAN PEKERJAAN DARI THAILAND
Kementerian Luar Negeri (KLN) merujuk kepada Siaran Akhbar bertarikh 15 Disember 2022 mengenai dua (2) orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di sempadan Thailand-Myanmar dan ingin memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari Rabu, 21 Disember 2022 jam 11.55 pagi menerusi penerbangan Thai Airways TG415.
Selain itu, pihak berkuasa Thailand turut menghantar pulang empat (4) orang warganegara Malaysia yang berada dalam tahanan Imigresen Thailand. Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dihantar pulang dari Thailand pada hari ini adalah seramai enam (6) orang. Kesemua mereka telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Kementerian merakamkan penghargaan kepada pihak PDRM atas tindakan pantas dan proaktif dalam mengesan serta menyelamatkan para mangsa hasil kerjasama erat KLN dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok. Pada masa yang sama, Kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand yang sentiasa memberikan kerjasama dan keutamaan dalam membantu Kerajaan Malaysia menyelamatkan mangsa-mangsa sindiket ini. KLN juga merakamkan penghargaan buat YB Tuan Sim Chon Siang, Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum yang turut menghulurkan bantuan dalam membantu urusan bagi membawa pulang para mangsa.
Sehingga 20 Disember 2022, KLN secara keseluruhannya telah menerima 488 laporan melibatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa jenayah sindiket penipuan ini di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand. Daripada bilangan tersebut, seramai 359 orang telah berjaya diselamatkan, dengan 331 orang telah dibawa pulang ke Malaysia dan 28 orang lagi masih berada dalam depoh tahanan bagi membantu proses siasatan serta urusan dokumentasi di negara-negara berkenaan sebelum dibenarkan pulang. Statistik mangsa sindiket yang telah berjaya diselamatkan setakat ini ialah 227 orang di Kemboja, 61 orang di Laos, 38 orang di Thailand dan 33 orang di Myanmar.
Kementerian melalui Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di negara-negara yang berkenaan, dan dengan kerjasama erat PDRM akan terus melipatgandakan usaha bagi menjejaki 129 orang lagi mangsa yang dilaporkan masih belum dapat dikesan. Ini melibatkan negara Kemboja (1 kes), Thailand (8 kes), Laos (29 kes) dan Myanmar (91 kes).
Pada masa yang sama, Kementerian turut mengharapkan bantuan dan kerjasama orang ramai untuk sentiasa cakna dengan isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara. Mangsa atau ahli keluarga yang disyaki terjebak dalam sindiket kegiatan jenayah ini diminta untuk melaporkan kepada pihak PDRM dan KLN dengan seberapa segera.
Pihak mangsa/waris boleh melaporkan dan menyampaikan maklumat yang berkaitan kepada KLN melalui e-mel: bkrm@kln.gov.my. KLN memandang serius isu membabitkan keselamatan dan kesejahteraan warganegara Malaysia di luar negara dan memerlukan kerjasama semua pihak dalam menangani isu ini.
Pihak KLN akan sentiasa memberikan komitmen dan menghulurkan bantuan sepantas mungkin bagi membantu menyelamatkan rakyat Malaysia yang menghadapi masalah di mana sahaja mereka berada di luar negara.
PUTRAJAYA
21 Disember 2022