KEMENTERIAN LUAR NEGERI MEMANGGIL KUASA USAHA SEMENTARA KEDUTAAN BESAR SWEDEN DI KUALA LUMPUR
KEMENTERIAN LUAR NEGERI MEMANGGIL KUASA USAHA SEMENTARA
KEDUTAAN BESAR SWEDEN DI KUALA LUMPUR
Kementerian Luar Negeri telah memanggil Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Sweden pada pagi ini untuk menegaskan kembali kecaman keras Kerajaan Malaysia terhadap tindakan keji Rasmus Paludan yang membakar senaskhah Al-Quran Karim di Stockholm pada 21 Januari 2023.
Kementerian ini telah menyampaikan bantahan dan kekecewaan Malaysia terhadap keengganan berterusan oleh pihak berkuasa Sweden untuk mengambil tindakan ke atas Paludan, membolehkan beliau untuk meneruskan perbuatan terkutuk itu, termasuklah insiden yang sama pada April 2022, walaupun mendapat tentangan daripada masyarakat antarabangsa. Kementerian ini telah menggesa pihak berkuasa Sweden supaya mengambil langkah serius untuk menentang sebarang unsur keganasan dan kebencian terhadap Islam di Sweden yang mana ia akan menjejaskan semangat hidup bersama secara aman dalam dunia yang berbilang agama sekiranya islamofobia dan xenofobia terus berleluasa.
Walaupun Kementerian ini mengambil maklum mengenai sesi taklimat yang dihoskan oleh TYT Jan Knutsson, Timbalan Menteri Luar Sweden pada 23 Januari 2023 di Kementerian Luar Negeri Sweden, yang dihadiri oleh wakil Kedutaan dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Stockholm, termasuk Malaysia, Kementerian ini turut menggesa Kerajaan Sweden mengambil inisiatif yang kukuh bagi menyelaras pendirian mereka dalam menghormati masyarakat Islam secara menyeluruh.
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Sweden di Kuala Lumpur mengambil maklum bantahan Kerajaan Malaysia dan akan menyampaikannya kepada Stockholm.
PUTRAJAYA
26 Januari 2023