KEMENTERIAN LUAR NEGERI MEMANGGIL DUTA BESAR SWEDEN UNTUK MENGECAM TINDAKAN MENGHINA KITAB SUCI AL-QURAN DI SWEDEN
KEMENTERIAN LUAR NEGERI MEMANGGIL DUTA BESAR SWEDEN
UNTUK MENGECAM TINDAKAN MENGHINA KITAB SUCI AL-QURAN
DI SWEDEN
Kementerian Luar Negeri pada hari ini telah memanggil Tuan Yang Terutama Dr. Joachim Bergström, Duta Besar Sweden ke Malaysia untuk menzahirkan kecaman keras Kerajaan Malaysia terhadap tindakan menghina kitab suci Al-Quran di Stockholm, Sweden pada 20 Julai 2023. Ini merupakan kali ketiga tindakan keji tersebut dilakukan di Sweden pada tahun ini, selepas insiden pertama dan kedua pada Januari dan Jun 2023.
Semasa pertemuan tersebut, Kementerian ini menegaskan kembali bantahan dan kekecewaan Malaysia terhadap Kerajaan Sweden yang telah memberikan kelulusan dan membenarkan tindakan menghina Al-Quran dilakukan berulang kali di Sweden dengan alasan “kebebasan bersuara”. Walaupun cubaan membakar Al-Quran tersebut gagal, tindakan provokatif memijak kitab suci ini tetap mengakibatkan kegusaran dan menyinggung jutaan umat Islam seluruh dunia.
Kementerian ini juga telah menegaskan kepada Duta Besar Sweden bahawa kebebasan bersuara perlu diamalkan dengan penuh tanggungjawab serta mengambil kira sensitiviti agama kepelbagaian komuniti global. Perbuatan tidak menghormati mana-mana agama berpotensi mencetuskan kebencian dan akan menjejaskan keharmonian serta budaya hidup bersama secara aman di kalangan masyarakat yang berbilang agama. Dalam hal ini, Kementerian ini menggesa Kerajaan Sweden untuk menilai semula pelaksanaan konsep kebebasan bersuara dan mengambil langkah segera dan tindakan yang perlu untuk menamatkan “Islamofobia berstruktur”.
PUTRAJAYA
24 Julai 2023