KEMATIAN PESERTA MALAYSIA DI GUNUNG EVEREST DAN KEHILANGAN SALAH SEORANG PESERTA EKSPEDISI
KEMATIAN PESERTA MALAYSIA DI GUNUNG EVEREST DAN KEHILANGAN SALAH SEORANG PESERTA EKSPEDISI
Kementerian Luar Negeri ingin mengesahkan bahawa Leftenan Kolonel Ag Askandar Ampuan Yaacob, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah telah meninggal dunia pada hari Jumaat, 19 Mei 2023 semasa dalam Misi Malaysia Everest 2023.
Ekspedisi tersebut disertai oleh beliau bersama dengan tiga (3) orang pendaki dan seorang pasukan sokongan.
Kementerian ini melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang menghulurkan bantuan yang sewajarnya untuk membawa turun jenazah mangsa dari Gunung Everest ke hospital di Kathmandu bagi tujuan bedah siasat dan pengurusan jenazah.
Kementerian Luar Negeri menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solihin.
Pada masa sama, kementerian juga ingin mengesahkan kehilangan Encik Muhammad Hawari Hashim, salah seorang peserta ekspedisi tersebut yang juga merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU). Beliau dipercayai telah berjaya sampai di puncak Gunung Everest dan telah bergerak turun selepas itu namun masih belum dapat dikesan sehingga kini. Wakil Kedutaan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang sedang giat menjalankan usaha pencarian mangsa di sekitar kawasan tersebut.
Sebarang perkembangan terkini misi pencarian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
PUTRAJAYA
20 Mei 2023