KEMASKINI MENGENAI KEMALANGAN BAS PENUMPANG DI NORWAY MELIBATKAN WARGANEGARA MALAYSIA
KEMASKINI MENGENAI KEMALANGAN BAS PENUMPANG DI NORWAY MELIBATKAN
WARGANEGARA MALAYSIA
Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm, dengan sukacitanya mengesahkan bahawa Kedutaan telah berjaya menghubungi dua warganegara Malaysia yang terlibat dalam kemalangan bas berhampiran Tasik Åsvatnet, Norway, pada 26 Disember 2024.
Kedua-dua individu tersebut mengalami kecederaan ringan, telah dikategorikan sebagai kes “tanpa kecederaan” oleh pihak berkuasa Norway, dan berada dalam keadaan sihat. Mereka juga telah meneruskan perjalanan di Norway tanpa sebarang komplikasi lanjut.
Kementerian ini juga ingin menjelaskan bahawa laporan awal yang menyatakan terdapat empat orang warganegara Malaysia yang terlibat dalam kemalangan tersebut adalah disebabkan salah faham, kerana dua lagi warganegara Malaysia kebetulan berada di hotel yang sama. Kedua-dua warganegara ini telah disahkan tidak terlibat dalam insiden berkenaan.
Kementerian Luar Negeri, bagi pihak Kerajaan Malaysia, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan di Norway atas tindakan pantas dan bantuan yang amat bermakna kepada penumpang Malaysia yang terlibat. Sokongan dan tindakan segera mereka amat dihargai.
Keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara kekal menjadi keutamaan utama Kementerian Luar Negeri.
PUTRAJAYA
31 Disember 2024