KEJADIAN LEMAS DI PULAU NUSA PENIDA DIAMOND BEACH, BALI
KEJADIAN LEMAS DI PULAU NUSA PENIDA DIAMOND BEACH, BALI
Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan bahawa seorang pelancong warganegara Malaysia yang dilaporkan hilang, telah dijumpai meninggal dunia kerana lemas oleh pihak berkuasa tempatan di Pulau Nusa Penida Diamond Beach, Bali pada 28 Disember 2022. Jenazah mangsa tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 30 Disember 2022 jam 10.15 malam dengan pesawat MH852.
Mangsa dilaporkan hilang pada jam 2.50 petang 27 Disember 2022 ketika cuba menyelamatkan dua orang pelancong asing yang hampir lemas di pantai pulau peranginan tersebut sebelum dihanyutkan arus.
KLN melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah memberikan bantuan konsular sewajarnya bagi memudahcara pengurusan jenazah, termasuk penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan untuk membolehkan jenazah dibawa pulang dengan segera.
Kementerian ini juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan berharap agar pihak keluarga tabah dalam mengharungi masa-masa sukar ini.
PUTRAJAYA
30 Disember 2022