KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT TIBA MENYAKSIKAN PERSIAPAN TERAKHIR BANTUAN KEMANUSIAAN OPS IHSAN KE GAZA
KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
BERANGKAT TIBA MENYAKSIKAN PERSIAPAN TERAKHIR BANTUAN
KEMANUSIAAN OPS IHSAN KE GAZA
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berangkat tiba menyaksikan persiapan terakhir bantuan kemanusiaan yang diatur selia oleh Ops Ihsan untuk penduduk Palestin di Gaza di I-Secure, MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Disember 2023.
Penerbangan bantuan kemanusiaan yang menggunakan pesawat A330-200 Mas Kargo melibatkan muatan barangan sebanyak 60 tan yang terdiri daripada 35.57 tan barangan perubatan, 6.62 tan makanan sedia dimakan (ready-to-eat), 4.35 tan barangan keperluan bayi dan 13.46 tan persiapan musim sejuk termasuk tilam, selimut dan kit wanita. Barangan-barangan ini merupakan sumbangan daripada pelbagai pihak, termasuk barangan perubatan sebanyak 20.3 tan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Bayaran sewaan penerbangan kargo ini menggunakan dana Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP). Ia akan berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada awal pagi 19 Disember 2023 dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Tentera Al-Arish di Mesir pada hari yang sama. Barangan-barangan ini akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk disalur kepada penduduk Palestin di Gaza.
Turut hadir pada majlis menyaksikan persiapan terakhir ini adalah YAB Timbalan Perdana Menteri I, YB Menteri Kesihatan, YB Menteri Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Timbalan Menteri Luar Negeri serta Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan serta rakan-rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Ops Ihsan.
Ops Ihsan ini adalah kolaborasi unik yang melibatkan kerjasama rentas Agensi Kerajaan dengan lebih daripada 50 NGO bertujuan memastikan gerak atur proses bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza menjadi lebih tersusun, bersepadu dan efektif di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri.
PUTRAJAYA
18 Disember 2023