HASIL LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK PERSEKUTUAN BRAZIL KE MALAYSIA 24 DAN 25 OGOS 2024
HASIL LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK PERSEKUTUAN BRAZIL KE MALAYSIA
24 DAN 25 OGOS 2024
Tuan Yang Terutama Mauro Vieira, Menteri Luar Negeri Republik Persekutuan Brazil telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 24 dan 25 Ogos 2024.
Pada 25 Ogos 2024, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri dan TYT Vieira telah mengadakan pertemuan dua hala di Wisma Putra, Putrajaya. Kedua-dua pihak meneliti dan membincangkan kerjasama dua hala sedia ada antara Malaysia dan Brazil dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan; semikonduktor; pertanian; sains, teknologi dan inovasi; hubungan antara rakyat dan pembangunan keupayaan; serta pertukaran lawatan di peringkat tertinggi. Kedua-dua Menteri Luar Negeri turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Brazil melalui pelaksanaan Rundingan Dua Hala dan Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama.
Kedua-dua Menteri Luar Negeri turut meneroka pengukuhan kerjasama melalui platform serantau dan pelbagai hala, termasuk ASEAN, BRICS, Kumpulan 20 (G20), dan Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC). Brazil merupakan Rakan Dialog Sektoral ASEAN pada tahun 2022. Mengambil kira Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, yang bertepatan dengan Brazil sebagai Pengerusi BRICS dan tuan rumah COP30 pada tahun 2025, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Kedua-dua Menteri Luar Negeri juga bertukar-tukar pandangan mengenai situasi di Gaza dan konflik Rusia – Ukraine.
TYT Vieira turut mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri di Seri Perdana untuk membincangkan lebih lanjut hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Brazil. TYT Vieira memanjangkan undangan daripada TYT Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Brazil kepada YAB Perdana Menteri untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil pada 18 dan 19 November 2024. YAB Perdana Menteri turut menyatakan aspirasi Malaysia untuk menyertai BRICS. Kedua-dua pihak turut menyentuh perkembangan global semasa, termasuk situasi di Gaza, Myanmar dan konflik Rusia-Ukraine.
Secara keseluruhannya, lawatan ini telah membuka lembaran baharu hubungan dua hala Malaysia-Brazil, dalam usaha mengukuhkan lagi kerjasama yang telah terjalin sejak tahun 1959.
PUTRAJAYA
25 Ogos 2024