HASIL LAWATAN KERJA YB MENTERI LUAR NEGERI KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 11-12 OGOS 2024
HASIL LAWATAN KERJA YB MENTERI LUAR NEGERI
KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
11-12 OGOS 2024
YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, telah mengakhiri lawatan kerja beliau ke Brunei Darussalam dari 11 dan 12 Ogos 2024 bersempena Mesyuarat ke-25 Pelaksanaan Exchange of Letters antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam (EOL-25). EOL adalah satu dokumen yang ditandatangani oleh Pemimpin kedua-dua negara pada tahun 2009 yang menggariskan perkara-perkara yang diberi keutamaan dalam hubungan dua hala.
Semasa lawatan tersebut, YB Menteri Luar Negeri telah mengadakan Kunjungan Menghadap ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Inti pati perbincangan tersebut menyentuh kerjasama dua hala dan isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama. Selari dengan iltizam untuk mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan erat sedia ada, Malaysia dan Brunei Darussalam telah menyatakan komitmen untuk terus meneroka bidang kerjasama baharu yang dapat memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
YB Menteri Luar Negeri juga telah mempengerusikan Mesyuarat EOL-25 bersama rakan sejawatan beliau, YB Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, Menteri Luar Negeri Kedua Brunei Darussalam. Kedua-dua pihak telah berbincang mengenai perkembangan yang telah dicapai sepanjang pelaksanaan Exchange of Letters tersebut. Dalam masa yang sama, kedua-dua Menteri Luar Negeri turut meneroka kerjasama baharu untuk terus meningkatkan hubungan kedua-dua negara.
Berkaitan isu-isu serantau dan antarabangsa, Malaysia dan Brunei Darussalam bersependapat bahawa perpaduan dalam ASEAN adalah amat penting dalam menjamin keamanan dan kesejahteraan rantau Asia Tenggara. Brunei Darussalam juga mengulangi sokongannya kepada Malaysia dalam usaha menjayakan Visi Komuniti ASEAN sepanjang Kepengerusian ASEAN Malaysia pada 2025.
YB Menteri Luar Negeri dan Menteri Luar Negeri Kedua Brunei Darussalam juga hadir sebagai tetamu kehormat ke Majlis Makan Malam sempena ulang tahun diplomatik ke-40 Malaysia dan Brunei Darussalam. Majlis tersebut turut dihadiri oleh orang-orang kenamaan dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan Brunei Darussalam, serta ketua-ketua pewakilan asing.
PUTRAJAYA
12 Ogos 2024