HASIL LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK POLAND KE MALAYSIA 3 SEPTEMBER 2024
HASIL LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK POLAND KE MALAYSIA
3 SEPTEMBER 2024
Tuan Yang Terutama Radosław Sikorski, Menteri Luar Negeri Republik Poland telah mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 3 September 2024. Beliau telah diiringi oleh TYT Paweł Ksawery Zalewski, Timbalan Menteri Pertahanan Poland dan TYT Michał Kołodziejczak, Timbalan Menteri Pertanian dan Kemajuan Luar Bandar Poland. Ini merupakan lawatan pertama TYT Sikorski ke Malaysia sejak dilantik pada Disember 2023.
TYT Sikorski telah mengadakan mesyuarat dua hala serta menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri.Kedua-dua pihak menggariskan komitmen bersama untuk terus mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Poland susulan Mesyuarat Konsultasi Dua Hala Kedua di antara kedua-dua Kementerian Luar Negeri di Warsaw pada bulan Jun 2024.
Berikutan persekitaran geostrategik yang mencabar, kedua-dua Menteri turut bersetuju untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi Malaysia-Poland dan menggalakkan keberdayatahanan rangkaian bekalan. Kedua-dua pihak juga membincangkan peningkatan kerjasama perdagangan dan pelaburan, serta mengukuhkan kerjasama sedia ada dalam bidang pertahanan, pendidikan tinggi, pertanian, dan pelancongan.
Kedua-dua pemimpin juga telah bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Timur Tengah dan konflik Rusia-Ukraine. Malaysia juga menzahirkan sokongan kepada permohonan Poland untuk menandatangani Triti Keamanan dan Kerjasama ASEAN (TAC). Selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah pada penggal pertama 2025,Poland telah menyatakan sokongan terhadap Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada tahun hadapan. Malaysia juga optimis bahawa Poland akan memainkan peranan yang penting dalam memperkukuh Kerjasama Strategik ASEAN-Kesatuan Eropah.
TYT Sikorski turut mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim,Perdana Menteri untuk membincangkan dengan lebih lanjut hubungan dua hala antara Malaysia dan Poland yang telah lama terjalin dan mempamerkan potensi besar untuk dikembangkan.Kedua-dua pemimpin turut membincangkan mengenai prospek kerjasama bidang baharu terutamanya dalam sektor teknologi hijau serta ekonomi digital. TYT Sikorski juga telah mengulangi jemputan kepada YAB Perdana Menteri Anwar untuk melawat Poland pada tahun 2025.
Pada tahun 2023, Poland merupakan rakan dagangan ke-8 terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah. Sepanjang bulan Januari hingga Julai 2024,jumlah dagangan dua hala telah meningkat sebanyak 14.7% kepada RM3.05 bilion (USD0.65 bilion) berbanding RM2.66 bilion (USD0.57 bilion) bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.
PUTRAJAYA
3 September 2024