HASIL LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI AUSTRALIA KE MALAYSIA 3 - 4 DISEMBER 2024
HASIL LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI AUSTRALIA KE MALAYSIA
3 - 4 DISEMBER 2024
Puan Yang Terutama Penny Wong, Menteri Luar Negeri Australia telah mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 3 dan 4 Disember 2024.
Pada 4 Disember 2024, Menteri Luar Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan dan PYT Penny Wong telah mengadakan Mesyuarat Tahunan antara Menteri-menteri Luar Negeri Malaysia-Australia kali keenam. Kedua-dua Menteri Luar juga menilai status kemajuan kerjasama dua hala dan meneroka potensi kerjasama baharu merentasi pelbagai sektor, khususnya perdagangan dan pelaburan, peralihan tenaga, mineral, keselamatan siber, ekonomi digital, pendidikan, pertahanan dan keselamatan, serta kesalinghubungan antara rakyat. Mesyuarat ini juga adalah susulan kepada Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia – Australia kali kedua yang dipengerusikan secara bersama oleh YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Perdana Menteri Australia di Melbourne, pada Mac 2024.
Kedua-dua Menteri Luar juga berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Myanmar, di Timur Tengah, serta konflik Ukraine-Russia.
PYT Penny Wong menyatakan sokongan Australia terhadap Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada tahun 2025. Sebagai rakan dialog ASEAN yang pertama, Australia kekal teguh dalam usahanya untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama merentasi tiga tonggak Komuniti ASEAN.
Kenyataan Bersama turut diterbitkan selepas mesyuarat berkenaan.
PYT Penny Wong turut mengadakan Kunjungan Hormat ke atas YAB Perdana Menteri bagi menilai kemajuan kerjasama yang dipersetujui berikutan lawatan beliau ke Australia. YAB Perdana Menteri turut menzahirkan undangan kepada TYT Anthony Albanese, Perdana Menteri Australia, bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di Malaysia pada tahun 2025.
PYT Penny Wong turut mengadakan pertemuan dua hala dengan YB Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi membincangkan kerjasama dalam industri mineral.
Secara keseluruhannya, lawatan ini telah mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada yang telah wujud di bawah Perkongsian Komprehensif Strategik (CSP) yang ditubuhkan pada tahun 2021, melalui perkongsian ekonomi yang teguh dan kesalinghubungan antara rakyat yang berterusan.
PUTRAJAYA
4 Disember 2024