HASIL LAWATAN KERJA MENTERI HAL EHWAL LUAR NEGERI II NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE MALAYSIA 10-12 JULAI 2024
HASIL LAWATAN KERJA MENTERI HAL EHWAL LUAR NEGERI II NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE MALAYSIA
10-12 JULAI 2024
YB Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam telah selesai mengadakan lawatan kerja ke Malaysia dari 10 hingga 12 Julai 2024, bersempena dengan Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat Malaysia-Negara Brunei Darussalam (LBC-3).
YB Dato Seri Setia Haji Erywan dan YBhg Dato’ Sri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri telah mempengerusikan bersama Mesyuarat LBC-3 pada 11 Julai 2024. Kedua-dua pihak telah mengiktiraf perkembangan positif dan pencapaian penting dalam kerjasama sempadan hasil daripada kerja-kerja penandaan dan pengukuran yang telah dilaksanakan selama ini.
Lawatan ini juga memperlihatkan hubungan istimewa antara Malaysia dan Brunei Darussalam serta menjadi persediaan kepada Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-25, yang dijadualkan berlangsung pada bulan Ogos 2024 di Bandar Seri Begawan.
Pada 11 Julai 2024, Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke Malaysia telah menghoskan majlis makan malam sempena meraikan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei Darussalam, di mana YB Dato Seri Setia Haji Erywan dan YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, telah menjadi Tetamu Terhormat. Semasa majlis makan malam tersebut, kedua-dua Menteri Luar Negeri telah menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala demi manfaat bersama.
Pada tahun 2023, Brunei Darussalam merupakan rakan dagangan ke-6 terbesar Malaysia di kalangan negara ASEAN, dengan jumlah dagangan berjumlah USD2.04 bilion (RM9.31 bilion).