GEMPA BUMI DI TENGGARA TURKIYE DAN SYRIA
GEMPA BUMI DI TENGGARA TURKIYE DAN SYRIA
Susulan arahan YAB Perdana Menteri pada petang 6 Februari 2023, Kerajaan Malaysia telah menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye untuk terlibat dalam misi bantuan mencari dan menyelamat mangsa yang terjejas bersama pihak berkuasa tempatan.
Seramai 70 anggota tersebut telah selamat tiba di Istanbul pada 7 Februari 2023, jam 6 pagi waktu tempatan dan telah digerakkan ke Adana bagi misi mencari dan menyelamat di kawasan berkenaan yang terletak 500 km dari Ankara atau 987 km dari Istanbul.
Malaysia telah dapat menghantar segera pasukan SMART dalam tempoh kurang daripada 12 jam, dan menjadi antara kumpulan pasukan dari negara asing pertama yang sampai di Turkiye bagi membantu Kerajaan Turkiye untuk misi mencari dan menyelamat. Ini adalah hasil daripada penyelarasan yang amat baik antara kesemua Agensi Kerajaan Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul serta Kedutaan Besar Republik Turkiye di Kuala Lumpur dan Turkish Airlines.
Dalam mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan bersama YB Menteri Luar Negeri dan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan Tugas- Tugas Khas) selepas pelepasan pasukan SMART di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah bersetuju membentuk Pasukan Petugas (Task Force) bagi menyelaraskan usaha bantuan kemanusiaan dari Malaysia termasuk daripada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO). Pasukan Petugas ini diketuai bersama oleh Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan objektif utama untuk memastikan segala persiapan dan perancangan bagi saluran bantuan kemanusiaan ke negara-negara terkesan akibat bencana gempa bumi ini berjalan lancar, teratur serta memenuhi garis panduan oleh Kerajaan-Kerajaan berkenaan.
Satu mesyuarat koordinasi antara Pasukan Petugas ini dengan NGO-NGO Malaysia telah ditetapkan pada 8 Februari 2023 jam 10 pagi.
Warga Malaysia yang kini berada di Turkiye, Syria dan di negara-negara berdekatan dinasihatkan agar terus mengambil langkah berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.
Sekiranya memerlukan bantuan segera, warga Malaysia di negara-negara ini dinasihati untuk segera berhubung dengan Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Ankara, Beirut atau Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul atau Konsul Kehormat Malaysia di Damsyik.
PUTRAJAYA
8 Februari 2023