GEMPA BUMI DI KEPULAUAN KYUSHU, JEPUN
GEMPA BUMI DI KEPULAUAN KYUSHU, JEPUN
Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, sedang memantau rapi perkembangan susulan kejadian gempa bumi dengan magnitud 7.1 yang berpusat di Laut Hyuganada, wilayah Miyazaki di Kepulauan Kyushu pada jam 4.43 petang waktu tempatan yang mencetuskan amaran tsunami.
Walaupun tiada kematian dilaporkan, pihak berkuasa masih membuat penilaian kemungkinan berlakunya kecederaan dan kerosakan serius.
Menurut laporan terkini, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terkesan susulan gempa bumi tersebut. Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk menjauhi kawasan pantai, sentiasa berwaspada, dan mengikuti perkembangan semasa serta arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.
Rakyat Malaysia, terutamanya di kawasan terjejas, dinasihatkan untuk mendaftar keberadaan mereka di https://ekonsular.kln.gov.my/ Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo seperti butiran berikut:
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI TOKYO
Alamat: 20-16, Nanpeidai-cho
Shibuya-ku
150-0036 Tokyo
No. Telefon: +81-3-3476-3840
+81-80-4322-3366 (emergency)
Emel: mwtokyo@kln.gov.my
consular.tyo@kln.gov.my
PUTRAJAYA
9 Ogos 2024